Solat Tahajud ialah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam selepas tidur, bermula selepas solat Isyak hingga sebelum masuk waktu Subuh. Solat ini boleh ditunaikan sekurang-kurangnya dua rakaat. Terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan selepas solat Tahajud. Berikut panduan ringkas tentang doa Tahajud, bacaan rumi, makna serta cara menunaikan solatnya.
Doa Selepas Tahajud: Rumi dan Maknanya

Antara doa yang diriwayatkan dibaca oleh Rasulullah SAW ketika bangun untuk menunaikan solat malam ialah doa pujian dan pengharapan kepada Allah SWT. Berikut ialah bacaan Arab, rumi dan maksudnya.
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ، وَوَعْدُكَ الْحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالْجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Bacaan rumi:
Allahumma lakal-hamdu anta qayyimus-samawati wal-ardhi wa man fihinna. Wa lakal-hamdu anta rabbus-samawati wal-ardhi wa man fihinna. Wa lakal-hamdu anta nurus-samawati wal-ardhi wa man fihinna. Wa lakal-hamdu antal-haqqu, wa wa‘dukal-haqqu, wa qawlukal-haqqu, wal-jannatu haqqun, wan-naru haqqun, wan-nabiyyuna haqqun, wa Muhammadun sallallahu ‘alaihi wasallam haqqun, was-sa‘atu haqq.
Allahumma laka aslamtu, wa bika amantu, wa ‘alaika tawakkaltu, wa ilaika anabtu, wa bika khasamtu, wa ilaika hakamtu. Faghfir li ma qaddamtu wa ma akhkhartu, wa ma asrartu wa ma a‘lantu. Antal-muqaddimu wa antal-mu’akhkhiru. La ilaha illa anta, wa la hawla wa la quwwata illa billah.
Maksudnya:
“Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang menguruskan langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bagi-Mu segala puji, Engkaulah Tuhan langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bagi-Mu segala puji, Engkaulah cahaya langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Engkaulah Yang Maha Benar, janji-Mu benar, firman-Mu benar, syurga benar, neraka benar, para nabi benar, Nabi Muhammad SAW benar dan hari kiamat benar.
Ya Allah, kepada-Mu aku berserah, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali, dengan pertolongan-Mu aku berhujah dan kepada-Mu aku menyerahkan keputusan. Ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang tersembunyi dan yang nyata. Engkaulah Yang Maha Mendahulukan dan Yang Maha Mengakhirkan. Tiada Tuhan melainkan Engkau, dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”
Doa Tahajud Ringkas (Memohon Kebaikan Dunia dan akhirat)
Selepas selesai solat, anda boleh beristighfar dan berzikir terlebih dahulu. Kemudian, bacalah doa ringkas ini untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Doa dalam rumi:
Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, wa qina ‘azaban-nar.
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta lindungilah kami daripada azab neraka.”
Doa ini memohon kebaikan yang menyeluruh. Oleh itu, ia bukan sekadar merangkumi urusan kehidupan di dunia, malah turut memohon kebaikan dan keselamatan di akhirat.
Doa Memohon Keampunan & Rahmat (Sayyidul Istighfar)
Selain doa ringkas tersebut, anda juga boleh membaca Sayyidul Istighfar, iaitu doa memohon keampunan daripada Allah SWT.
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ
Rumi:
Allahumma anta rabbi la ilaha illa anta, khalaqtani wa ana ‘abduka, wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastatha’tu, a’udzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bini’matika ‘alayya, wa abu’u laka bidzanbi faghfir li, fa innahu la yaghfirudz dzunuba illa anta.
Maksud:
“Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada di atas janji-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.”
Doa Selepas Solat
Selain doa tahajud, anda juga boleh amalkan doa selepas solat seperti berikut:
Kemudian, berdoalah dalam bahasa yang anda fahami. Mohonlah keampunan, kesihatan, ketenangan hati, kemudahan urusan dan kebaikan untuk keluarga. Berdoa ketika sujud juga dianjurkan; Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa seseorang boleh memperbanyakkan doa ketika sujud.
Niat Solat Tahajud
Lafaz niat:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Rumi: Usolli sunnatat-tahajjudi rak‘ataini lillahi ta‘ala.
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Tahajud dua rakaat kerana Allah Taala.
Cara Menunaikan Solat Tahajud
- Bangun tidur sebelum Subuh
- Ambil wuduk dengan sempurna.
- Berdiri di tempat solat yang suci dan menghadap kiblat.
- Niatkan solat di dalam hati ketika takbiratul ihram.
- Rakaat pertama: Baca Doa Iftitah, Surah al-Fatihah dan surah pilihan. Kemudian rukuk, iktidal dan sujud dua kali seperti dalam solat fardu.
- Rakaat kedua: Baca Surah al-Fatihah dan surah pilihan. Kemudian rukuk, iktidal dan sujud dua kali. Duduk untuk membaca Tahiyat Akhir, lalu beri salam.
- Selepas solat, beristighfar, berzikir dan membaca doa Tahajud. Akhiri dengan Solat Sunat Witir jika belum ditunaikan.

