Cara Solat Taubat: Panduan Mudah untuk Diamalkan

Cara Solat Taubat: Panduan Mudah untuk Diamalkan

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang boleh membuatkan hati terasa berat, jiwa tidak tenang dan diri dipenuhi penyesalan. Salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah selepas menyedari kesalahan ialah dengan menunaikan solat sunat taubat. Solat sunat taubat ialah solat yang dilakukan oleh seseorang yang ingin memohon keampunan daripada Allah atas dosa atau kesilapan yang telah dilakukan. Ia lazimnya ditunaikan sebanyak dua rakaat dan diakhiri dengan satu salam.

Teruskan membaca untuk mengetahui cara solat taubat yang ringkas, niat solat taubat serta doa yang boleh diamalkan selepas itu.

Cara Solat Taubat: Panduan Mudah untuk Diamalkan
Pexels

Bila Waktu Sesuai untuk Solat Taubat?

Solat sunat taubat boleh dilakukan pada waktu siang atau malam. Ramai memilih untuk melakukannya pada waktu malam kerana suasananya lebih sunyi, tenang dan mudah untuk memberi tumpuan dalam berdoa.

Antara waktu yang sesuai ialah:

  • Selepas solat Isyak.
  • Sebelum tidur.
  • Pada sepertiga malam terakhir.
  • Sebelum masuk waktu Subuh.
  • Pada waktu lain yang tidak termasuk dalam waktu larangan solat sunat.

Niat Solat Taubat

Niat solat sebenarnya berada di dalam hati. Tidak wajib untuk melafazkannya dengan kuat. Namun, jika anda mahu membaca lafaz niat sebagai panduan, berikut ialah bacaannya:

Dalam tulisan Arab:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bacaan Rumi:

Usolli sunnatat taubati rak’ataini lillahi ta’ala.

Maksud:

Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.


Cara Solat Taubat Dua Rakaat

Pexels

Cara menunaikan solat taubat hampir sama seperti solat sunat biasa. Berikut ialah langkah mudah yang boleh diikuti.

Rakaat Pertama

  1. Ambil wuduk dengan sempurna dan menghadap kiblat.
  2. Niat dalam hati untuk solat sunat taubat dua rakaat.
  3. Mulakan solat dengan takbiratul ihram.
  4. Baca doa iftitah jika mahu.
  5. Baca Surah al-Fatihah.
  6. Sambung dengan mana-mana surah yang anda hafal.
  7. Teruskan rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kedua seperti biasa.

Sesetengah orang memilih untuk membaca Surah al-Kafirun pada rakaat pertama. Namun, ia bukan bacaan wajib. Anda boleh membaca surah yang paling mudah diingati.

Rakaat Kedua

  1. Bangun untuk rakaat kedua.
  2. Baca Surah al-Fatihah.
  3. Baca mana-mana surah pilihan.
  4. Sempurnakan rukuk, iktidal dan dua kali sujud.
  5. Duduk membaca tahiyat akhir.
  6. Akhiri solat dengan memberi salam.

Surah al-Ikhlas sering menjadi pilihan pada rakaat kedua, tetapi anda bebas membaca mana-mana surah yang diketahui.

Dalam sujud terakhir, anda juga boleh mengambil masa lebih lama untuk memohon ampun dan mengadu kepada Allah. Antara doa yang boleh dibaca ialah doa Nabi Yunus:

La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz-zalimin.

Maksudnya:

Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang menzalimi diri sendiri.


Cara Solat Taubat Ringkas

Jika anda mahu melakukan solat taubat dengan cara paling mudah, ikuti langkah ini:

  • Ambil wuduk.
  • Niat solat sunat taubat dua rakaat di dalam hati.
  • Tunaikan dua rakaat seperti solat sunat biasa.
  • Baca al-Fatihah dan mana-mana surah yang dihafal.
  • Akhiri dengan tahiyat akhir dan salam.
  • Beristighfar serta berdoa memohon keampunan.
  • Tinggalkan dosa tersebut dan cuba elakkan perkara yang boleh membawa kepada kesalahan sama.

Istighfar Selepas Solat Taubat

Pexels

Selepas salam, ambillah sedikit masa untuk beristighfar. Bacaan yang mudah ialah:

Astaghfirullahal ‘azim.

Maksudnya:

Aku memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Agung.

Sayyidul Istighfar

Selain istighfar ringkas, anda juga boleh membaca Sayyidul Istighfar selepas solat taubat atau sebagai amalan harian.

Dalam tulisan Arab:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Bacaan Rumi:

Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta, khalaqtani wa ana ‘abduka, wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastata’tu. A’uzubika min sharri ma sana’tu. Abu’u laka bini’matika ‘alayya, wa abu’u bizanbi, faghfirli, fa innahu la yaghfiruz-zunuba illa anta.

Maksudnya:

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menciptakanku dan aku ialah hamba-Mu.Dan aku berusaha memegang janji kepada-Mu sedaya upayaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang telah aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku kerana tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.


Doa Solat Taubat dalam Bahasa Melayu

Tiada doa khusus yang wajib dibaca selepas solat taubat. Anda boleh berdoa dalam Bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang paling mudah difahami.

Contoh doa:

Ya Allah, aku mengakui segala kesalahan yang telah aku lakukan. Aku benar-benar menyesal dan ingin kembali kepada-Mu. Ampunilah dosa-dosaku, bersihkan hatiku dan kuatkan aku untuk meninggalkan perkara yang tidak Engkau redai. Bimbinglah aku supaya menjadi insan yang lebih baik dan lindungilah aku daripada mengulangi kesalahan yang sama. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Baca juga:

Solat taubat bukan hanya tentang menunaikan dua rakaat. Ia ialah peluang untuk berhenti sejenak, mengakui kelemahan diri dan kembali berharap kepada Allah. Kita mungkin pernah tersasar, tetapi selagi masih mahu kembali, jalan menuju keampunan Allah sentiasa terbuka. Moga moga taubat kita diterima oleh Allah SWT.


Soalan Lazim tentang Solat Taubat

Berapa rakaat solat taubat?

Solat sunat taubat biasanya dilakukan sebanyak dua rakaat dengan satu salam.

Adakah lafaz niat wajib dibaca?

Tidak. Niat yang sebenar ialah niat di dalam hati. Lafaz niat hanya sebagai panduan.

Perlukah menangis ketika solat taubat?

Tidak. Menangis bukan syarat sah taubat. Yang penting ialah rasa kesal yang sebenar dan kesungguhan untuk memperbaiki diri.

Bolehkan wanita haid bertaubat?

Boleh. Taubat tidak perlu ditangguhkan. Wanita yang sedang haid boleh beristighfar, berzikir dan berdoa. Solat taubat boleh dilakukan selepas kembali suci.

Leave a Reply