Taanusiya Chetty

Kenali Taanusiya Chetty, Pemenang Tempat Ke-3 Miss World 2026

Taanusiya Chetty mengharumkan nama Malaysia selepas meraih tempat ketiga atau second runner-up di Miss World 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam pada 5 September 2026. Pencapaian membanggakan ini sekali gus menyamai rekod terbaik Malaysia yang pernah dicatatkan oleh Lina Teoh di Miss World 1998.

Dengan kecantikan, keyakinan dan komitmennya terhadap pendidikan serta khidmat masyarakat, mari kenali lebih dekat sosok Miss World Malaysia 2026 ini.

Taanusiya Chetty, Pemenang Tempat Ke-3 Miss World 2026
@taanusiyaa_ di Instagram

Siapakah Taanusiya Chetty?

Taanusiya Chetty ialah seorang cikgu Bahasa Inggeris, model dan aktivis berketurunan India-Malaysia dari Kuala Lumpur. Pada usia 26 tahun, beliau aktif dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti serta kerja sukarelawan bersama. Taanusiya juga merupakan pengasas persatuan Be.The.Change Malaysia, sebuah inisiatif yang memberi fokus kepada pemerkasaan kanak-kanak serta sokongan emosi dan pendidikan untuk komuniti.

Sebagai wakil Malaysia di Miss World 2026, Taanusiya menggunakan platform tersebut untuk memperkasakan kanak-kanak dan komuniti melalui pendidikan serta sokongan emosi. Keupayaannya bertutur dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil turut menyerlahkan keyakinannya ketika memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa.


Perjalanan Taanusiya di Miss World 2026

Perjalanan Taanusiya Chetty di Miss World 2026 berlangsung selama hampir sebulan, apabila beliau bersaing dengan peserta dari seluruh dunia. Dengan ketinggian 173 cm, penampilan anggun dan keyakinan diri, wakil Malaysia ini berjaya mencuri perhatian sepanjang pertandingan.

Antara pencapaian terbesarnya ialah kemenangan dalam kategori Beauty With a Purpose, yang mengiktiraf usaha kemasyarakatan dan sumbangannya dalam bidang pendidikan. Kejayaan ini membolehkannya mara ke kelompok Top 6 Miss World 2026.

Selain penampilan yang memukau, Taanusiya turut menyerlah menerusi pandangannya tentang pendidikan, pemerkasaan generasi muda dan alam sekitar. Moto pegangannya, “Even when I feel lost, I trust that everything happens for a reason and I come back stronger,” mencerminkan semangatnya untuk terus bangkit dan menjadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran.

@taanusiyaa_ di Instagram

Taanusiya Chetty Raih Tempat Ketiga Miss World 2026

Pada malam kemuncak Miss World 2026, Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika dinobatkan sebagai juara. Elisabeth Reynés Alabern dari Sepanyol pula diumumkan sebagai naib juara pertama, manakala Taanusiya Chetty dari Malaysia meraih tempat ketiga atau second runner-up.

Pencapaian ini amat bermakna kerana Taanusiya menjadi wakil Malaysia kedua yang berjaya menamatkan saingan Miss World di tempat ketiga. Taanusiya turut dinobatkan sebagai Miss World Asia selepas pertandingan tersebut. Gelaran ini mengiktiraf kedudukannya sebagai peserta terbaik dari rantau Asia dan Oceania dalam edisi Miss World 2026.

Dari kiri, Elisabeth Reynés Alabern, Joheirry Mola Dominguez dan Taanusiya Chetty (@missworld)

Personaliti, Hobi dan Minat Taanusiya

Di luar bidang pendidikan dan aktivisme, Taanusiya mempunyai pelbagai minat. Beliau gemar bermain badminton, berlari, seni mempertahankan diri iaitu silat, sukan air, muzik dan aktiviti sukarelawan. Minat yang pelbagai ini menggambarkan personalitinya yang aktif, berani mencuba perkara baharu dan sentiasa mahu berkembang.


Dengan kejayaan meraih gelaran second runner-up Miss World 2026, memenangi Beauty With a Purpose dan dinobatkan sebagai Miss World Asia, Taanusiya telah mencipta detik bersejarah untuk Malaysia. Pencapaiannya di Nha Trang, Vietnam akan terus dikenang sebagai antara kejayaan paling membanggakan negara dalam sejarah pertandingan Miss World.

Tahniah diucapkan kepada Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty!

Leave a Reply