Kapal Api Indonesia Open: Siapa Pemain Top dan Juara Pilihan?

Jakarta kembali bergema dengan sorakan peminat badminton sempena Kapal Api Indonesia Open yang berlangsung dari 3 hingga 8 Jun 2025 di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta. Sebagai salah satu kejohanan Super 1000 paling berprestij dalam kalendar BWF, edisi ke-43 ini menawarkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak USD 1,450,000, menjadikannya antara yang tertinggi dalam siri jelajah dunia.

Para pemain bertaraf dunia bersaing untuk merebut bukan sahaja hadiah wang tunai yang lumayan, tetapi juga mata ranking yang penting untuk kelayakan ke Kejohanan Dunia BWF dan Sukan Olimpik. Beberapa pemain top ranking turut bertanding dan dijangka menjadi juara pilihan mengikut kategori masing-masing.


Pemain Top & Juara Pilihan Mengikut Kategori

Perseorangan Lelaki (Men’s Singles)

Kapal Api Indonesia Open: Perseorangan Lelaki; Shi Yuqi dan Kunlavut Vitidsarn
@bwf

Dalam kategori perseorangan lelaki, tumpuan tertumpu kepada juara bertahan dari China, Shi Yuqi, yang kini berada di ranking kedua dunia. Beliau menunjukkan prestasi cemerlang dengan kemenangan meyakinkan ke atas pemain Jepun, Yushi Tanaka, 21-14, 21-7 . Namun, cabaran besar menanti daripada pemain nombor satu dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, yang juga mara ke suku akhir selepas menewaskan Lee Chia-hao.

Perseorangan Wanita (Women’s Singles)

Kapal Api Indonesia Open: Perseorangan Wanita; An Se-Young dan Akane Yamaguchi
@bwf

Di bahagian perseorangan wanita, An Se-Young dari Korea Selatan, pemain nombor satu dunia, dijangka akan mengungguli kategori ini. Beliau mempamerkan dominasi dengan kemenangan mudah ke separuh akhir mengatasi Pornpawee Chochuwong dari Thailand. Persaingan dalam kategori ini semakin sengit dengan kehadiran pemain hebat seperti Akane Yamaguchi dari Jepun.

Beregu Lelaki (Men’s Doubles)

Beregu Lelaki Indonesia Open 2025
pbsi/bernama

Kategori beregu lelaki menyaksikan tentangan sengit oleh pasangan Malaysia, yang juga beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze-Fei dan Nur Izzuddin Rumsani. Turut menjadi tumpuan adalah pasangan beregu tuan rumah, Fajar Alfian dan Rian Ardianto yang pernah menjuarai All England 2024. Pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seong Sung Jae juga mempunyai potensi atas prestasi mereka yang cemerlang.

Beregu Wanita (Women’s Doubles)

Beregu Wanita

Dalam beregu wanita, pasangan Korea Selatan, Baek Ha-na dan Lee So-hee, yang merupakan juara bertahan, kembali untuk mempertahankan gelaran mereka. Namun, pasangan negara Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dijangka memberi tenntangan hebat untuk merebut gelaran juara kali ini.

Beregu Campuran (Mixed Doubles)

Beregu Campuran

Bagi beregu campuran, tumpuan terarah kepada beregu campuran Malaysia iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang kini menduduki ranking keempat dunia. Menanti mereka di peringkat separuh akhir adalah beregu dari negara jiran iaitu Thailand, Dechapol Puaravanukroh dan Supissara Paewsampran. Saingan yang sengit dijangka berlaku antara kedua dua beregu dan turut mara ke separuh akhir adalah beregu dari Perancis; Tom Gicquel dan Delphine Delrue.


Siaran Langsung & Akses Penonton

Untuk peminat badminton di Malaysia dan seluruh dunia, perlawanan disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi Youtube BWF dan platform penstriman sukan utama seperti Astro dan Sooka. Pastikan anda tidak terlepas aksi-aksi mendebarkan kejohanan Kapal Api Indonesia Open dari Jakarta!


Dengan kehadiran pemain-pemain top dunia, Indonesia Open 2025 menjanjikan persaingan sengit dan perlawanan berkualiti tinggi. Adakah juara bertahan mampu mempertahankan gelaran mereka, atau akan muncul juara baharu yang mencipta kejutan? Sama-sama kita nantikan!

Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini dan keputusan perlawanan di laman rasmi BWF dan media sosial rasmi kejohanan.