Penipuan secara atas talian atau online scam bukanlah sesuatu yang baru. Lebih membimbangkan, taktik scammer kini semakin licik dan sukar dikesan menyebabkan ramai yang terpedaya — terutamanya ketika membeli tiket konsert atau barangan di media sosial dan platform online. Jadi, dalam artikel ini, kami akan kongsikan, cara untuk elak menjadi mangsa dan apa yang perlu dilakukan sekiranya anda terjerumus dalam online scam.
Cara Elak Jadi Mangsa Pembelian atas Talian
Risiko untuk menjadi mangsa online scam kini semakin meningkat. Oleh itu, penting untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum membuat sebarang transaksi. Berikut ialah cara untuk elakkan diri daripada menjadi mangsa online scam:
1. Sentiasa semak reputasi penjual sebelum membeli
Semak reputasi penjual melalui ulasan pelanggan, rating, dan latar belakang penjual. Scammer biasanya menggunakan akaun palsu yang tidak mempunyai sebarang testimoni atau hanya mempunyai ulasan yang terlalu positif. Mereka juga sering menggunakan gambar barangan yang dicuri dari peniaga lain. Pastikan anda membeli hanya daripada platform yang mempunyai sistem penilaian penjual dan jaminan perlindungan pengguna.
2. Elakkan membuat bayaran terus ke akaun peribadi
Ramai pengguna menjadi mangsa apabila mereka membayar secara terus ke akaun bank individu, terutama melalui media sosial seperti Facebook. Taktik scammer adalah memujuk mangsa untuk membuat bayaran segera dengan janji diskaun, penghantaran cepat, atau produk ‘limited edition’. Jadi, pilih kaedah bayaran melalui platform yang menyediakan escrow service – di mana bayaran hanya akan dilepaskan kepada penjual setelah pembeli mengesahkan penerimaan barangan.
3. Berhati hati dengan tawaran yang terlalu murah
Jangan terus perjaya jika anda melihat sesuatu produk dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Taktik ini sering digunakan oleh scammer untuk menarik perhatian dan meyakinkan pembeli bahawa mereka sedang ‘membeli dengan bijak’. Hakikatnya, barangan tersebut mungkin tidak wujud atau tidak berkualiti. Sebagai pengguna, sentiasa berhati hati agak tidak mudah terpedaya dan buat semakan dengan organisasi sah yang terlibat sebelum melakukan transaksi.
4. Guna platform yang sah dan selamat
Untuk menjamin keselamatan, sentiasa pastikan anda membuat pembelian di platform yang sah, berdaftar dan mempunyai polisi perlindungan pengguna. Banyak kes berlaku apabila mangsa membeli melalui iklan rawak di media sosial tanpa sebarang pengesahan tentang penjual tersebut. Sekiranya anda ingin melakukan pembelian di laman web, periksa URL laman web, pastikan ia bermula dengan “https” dan elakkan daripada mengklik pautan yang mencurigakan.
5. Jangan berkongsi maklumat peribadi secara sembarangan
Sekiranya penjual meminta anda kongsikan maklumat peribadi seperti gambar kad pengenalan, gambar kad matrik pelajar atau pun maklumat kewangan, jangan terus bertindak. Sebaliknya, periksa dahulu dengan pihak berkuasa ataupun organisasi rasmi sebelum meneruskan pembelian. Lebih membimbangkan, scammer boleh menggunakan identiti anda untuk memperdayakan pelanggan seterusnya.
Dah Kena Scam? Jangan Panik – Ini Tindakan Segera Anda
Sekiranya anda sedar anda telah ditipu, jangan lengahkan masa dan segera bertindak. Ini antara langkah segera yang perlu diambil:
- Simpan Bukti Transaksi – Termasuk screenshot perbualan, resit pembayaran, nombor akaun penerima, dan pautan laman web atau profil media sosial penjual.
- Lapor Kepada Bank – Maklumkan kepada mereka bahawa anda merupakan mangsa scam dan minta mereka menyekat sebarang transaksi dari akaun anda.
- Buat Laporan Polis dan Platform Terlibat – Untuk tindakan undang-undang dan siasatan lanjut, anda perlu membuat laporan polis di balai polis terdekat. Segera laporkan akaun penjual scammer tersebut kepada pihak platform. Ini penting supaya tindakan penggantungan akaun penjual boleh dilakukan.
- Create Awareness dan Dapatkan Sokongan – Kongsikan pengalaman anda di media sosial dan mendapatkan sokongan emosi daripada rakan-rakan atau komuniti pengguna lain yang pernah mengalami situasi serupa.
Jadi pengguna bijak – sentiasalah berwaspada ketika membuat pembelian atas talian. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu murah atau mendesak, dan pastikan anda hanya berurusan dengan laman web yang dipercayai.
Kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga dan rakan rakan supaya lebih ramai berhati hati dan elakkan diri dari menjadi mangsa online scam.