Kerajaan MADANI telah memperkenalkan model baharu penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dikenali sebagai Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik). Model ini akan menggantikan model lama, PBU 2016, dan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025. Ia bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang dengan pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik mereka.
Struktur Bayaran Balik Jpa PBU Akademik

Berikut adalah kadar bayaran balik pinjaman mengikut pencapaian akademik pelajar:
PNGK Akhir (Tanpa Pelanjutan) | Peratus Bayaran Balik |
---|---|
3.75 – 4.00 | 5% |
3.50 – 3.74 | 10% |
3.00 – 3.49 | 15% |
3.00 ke atas (dengan pelanjutan) | 20% |
Di bawah 3.00 atau gagal | 100% |
Selain itu, pelajar yang berjaya dilantik ke dalam perkhidmatan awam dengan kelayakan yang setaraf akan dikecualikan sepenuhnya daripada membayar balik baki pinjaman mereka.
Pengecualian Khas untuk Bidang Kritikal
Pelajar dalam bidang Perubatan, Pergigian, dan Farmasi akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya:
- Tamat pengajian dengan jayanya (dengan atau tanpa pelanjutan); dan
- Memenuhi ikatan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan.
Sekiranya pelajar gagal memenuhi salah satu syarat di atas, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Penukaran untuk Pelajar Sedia Ada
Pelajar yang sedang berada di bawah model PBU 2016 akan diberi pilihan untuk menukar kepada PBU Akademik secara berperingkat mulai 1 Januari 2026. Bagi pelajar yang telah menamatkan pengajian dan sedang membuat bayaran balik pinjaman di bawah PBU 2016, mereka diminta untuk menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun 2025 sehingga proses penukaran dibuka.
Maklumat Lanjut JPA
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila layari:
- Portal Penajaan JPA
- E-mel: [email protected]
Model PBU Akademik ini adalah inisiatif Kerajaan MADANI untuk menghargai kecemerlangan akademik pelajar dan memperkukuh pembangunan modal insan negara. Ia memberikan insentif kepada pelajar untuk mencapai prestasi akademik yang tinggi dan menyumbang kepada sektor awam selepas tamat pengajian.