Setiap tahun, Malaysia menghadapi masalah jerebu yang memberi kesan kepada kesihatan dan aktiviti harian. Jerebu ini menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia dan pastinya menyebabkan kualiti udara semakin menurun dan menimbulkan kebmimbangna kepada penduduk setempat. Artikel ini akan menerangkan maksud jerebu, sebab, kesannya, dan bagaimana anda boleh kekal selamat—dilengkapi dengan kemas kini indeks jerebu terkini di Malaysia.
Maksud Jerebu

Jerebu ialah keadaan udara yang tercemar oleh zarah halus seperti debu dan asap, serta bahan pencemar lain, yang menyebabkan kualiti udara merosot dan jarak penglihatan berkurangan. Partikel kecil ini juga boleh masuk ke dalam saluran pernafasan dan menyebabkan masalah kesihatan.
Punca dan Kesan Jerebu
- Kebakaran Hutan: Sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi atau pembakaran terbuka oleh manusia
- Asap dari Pengindustrian: Kilang dan industri melepaskan asap dan bahan kimia ke udara
- Asap Kenderaan: Pelepasan asap dari kenderaan, terutamanya yang menggunakan bahan api fosil
- Aktiviti Gunung Berapi: Letusan gunung berapi mengeluarkan abu dan gas sulfur dioksida yang boleh mencemarkan udara.
- Cuaca Kering dan Kurang Hujan: Cuaca panas dan kering menyebabkan asap dan zarah terampai kekal lama di udara kerana tiada hujan untuk membersihkan atmosfera.
Jerebu memberi kesan serius terhadap kesihatan, alam sekitar, dan ekonomi. Ia boleh menyebabkan masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas, dan memburukkan penyakit kronik seperti asma, selain iritasi pada mata serta kulit.
Dari segi alam sekitar, jerebu mengurangkan kualiti udara dan menghalang cahaya matahari yang menjejaskan tumbuhan dan ekosistem. Aktiviti harian turut terjejas apabila sekolah ditutup, penerbangan tergendala, dan jarak penglihatan berkurang sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Indeks Jerebu Semasa Malaysia
Berikut merupakan panduan bacaan indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di beberapa lokasi berdasarkan maklumat MyEMQS, setakat jam 2 petang:
- Alor Gajah, Melaka – 160
- Nilai, Negeri Sembilan – 159
- Temerloh, Pahang – 157
- Banting, Selangor – 156
- Kemaman, Terengganu – 154
- Johan Setia, Selangor – 152
- Seremban, Negeri Sembilan – 151
- Balok Baru Kuantan, Pahang – 145
- Cheras, W.P, Kuala Lumpur – 133
Langkah Keselamatan

- Pantau kualiti udara – Semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari melalui aplikasi atau laman web rasmi.
- Elakkan aktiviti luar – Kurangkan pendedahan kepada udara terbuka, terutamanya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas.
- Pakai pelitup muka – Gunakan pelitup muka jenis N95 untuk menapis zarah halus di udara.
- Kekalkan udara bersih di dalam rumah – Tutup tingkap dan pintu serta gunakan penapis udara atau pendingin hawa dengan penapis.
- Minum air secukupnya – Kekalkan hidrasi untuk membantu tubuh menyingkirkan toksin.
- Ikuti arahan pihak berkuasa – Patuh kepada sebarang amaran atau nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Jerebu merupakan cabaran alam sekitar yang berulang, namun dengan sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga, kita dapat mengurangkan kesannya terhadap kesihatan dan rutin harian. Utamakan keselamatan dengan memantau kualiti udara, mengurangkan aktiviti luar, dan menggunakan pelitup muka apabila perlu.