Setiap tahun, tanggal 16 Mei diraikan dengan penuh kasih sayang dan penghargaan kepada insan luar biasa – para guru. Tapi sebenarnya, siapa itu guru? Adakah hanya mereka yang mengajar di sekolah? Guru merangkumi semua yang menyumbang dalam dunia pendidikan – dari cikgu tadika sehinggalah pensyarah di universiti.
Tahun ini, tarikh Hari Guru 2025 di Malaysia jatuh pada Jumaat, 16 Mei 2025. Dan seperti biasa, sambutan ini bukan hanya sekadar acara tahunan – ia lebih kepada momen untuk kita sama-sama menghargai jasa mereka.
Tema Hari Guru 2025: “Guru Pemangkin Reformasi Pendidikan”
Tahun ini, tema Hari Guru 2025 iaitu “Guru Pemangkin Reformasi Pendidikan” memberi mesej yang cukup kuat. Ia menekankan peranan guru sebagai agen perubahan dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar. Dunia berubah, teknologi berkembang – dan guru adalah orang pertama yang perlu menyesuaikan diri.
Sejarah Ringkas Hari Guru di Malaysia
Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita imbas sedikit tentang sejarah Hari Guru. Hari Guru mula disambut secara rasmi di Malaysia pada tahun 1972, dan tarikh 16 Mei dipilih kerana ia merupakan hari pengisytiharan Laporan Razak 1956, iaitu asas kepada sistem pendidikan negara kita. Sejak itu, setiap tahun kita memperingati jasa para pendidik pada tarikh ini – sebagai satu bentuk penghargaan yang tidak ternilai.
Cara-Cara Menyambut Hari Guru
Sekarang, jom kita lihat beberapa cara mudah tapi bermakna untuk menyambut Hari Guru tahun ini.
1. Tulis Nota atau Ucapan Peribadi
Anda boleh tulis dan hiaskan kad ucapan atau nota yang menyentuh hati kepada guru anda. Tidak perlu ucapan menggunakan bahasa yang puitis, cukup dapat menyatakan apa yang anda ingin sampaikan kepada guru anda. Kadangkala, kata-kata yang datang dari hati lebih bermakna dari hadiah mewah.
Contoh ucapan:
- “Terima kasih cikgu kerana sentiasa percaya pada saya, walaupun saya sendiri pernah ragu.”
- “Cikgu bukan sekadar mengajar – cikgu membentuk siapa saya hari ini. Selamat Hari Guru!”
- “Ilmu dan nilai yang cikgu ajar akan saya bawa sepanjang hayat. Jasamu tiada tandingan.
2. Rakam Video Dedikasi
Dalam zaman media sosial ni, video ringkas pun boleh jadi sangat istimewa. Ajak rakan sekelas, rakan sekerja atau bekas pelajar lain untuk kongsi ucapan atau kenangan manis bersama guru. Gabungkan dalam satu video dan kongsikan di grup WhatsApp atau platform sosial – pasti buat guru tersenyum.
3. Berikan Hadiah Yang Bermakna
Hadiah yang ingin diberikan tidak semestinya mahal. Tapi, jika anda ingin berbelanja sedikit untuk guru anda, boleh belikan hadiah seperti buku nota berkulit tebal beserta pen, tote bag ataupun hiasan pokok kecil untuk diletakkan di atas meja. Walau apapun hadiah yang anda berikan, nilainya tetap tidak terkira kerana yang penting, keikhlasan anda.
4. Raikan dengan Aktiviti Ringkas
Sekolah, tadika atau universiti boleh adakan sesi penghargaan ringkas seperti jamuan ringan, persembahan pelajar, atau sesi perkongsian pengalaman guru. Yang penting, beri ruang kepada guru untuk rasa dihargai dan diraikan – walaupun secara sederhana.
Hakikatnya, tanpa guru, siapalah kita hari ini? Mereka bukan sekadar mengajar – mereka mendidik, membimbing dan membentuk peribadi kita dari kecil hingga dewasa. Sambutan Hari Guru 2025 adalah peluang terbaik untuk meraikan jasa dan pengorbanan mereka tidak kiralah dari sekecil-kecil ilmu hinggalah kini dapat menggenggam sebuah ijazah.
Jadi, sama-sama kita raikan Hari Guru 2025 dengan penuh rasa dan penuh makna. Kami, di ZALORA Blog Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik di seluruh dunia !