Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Fenomena La Nina jangka pendek berpotensi berlaku pada awal musim sejuk 2025/2026. Sebahagian besar model iklim antarabangsa menunjukkan bahawa ENSO kini berada dalam keadaan neutral, dengan Indeks Niño 3.4 mencatat –0.1°C bagi tempoh Mei hingga Julai 2025. Keadaan neutral ini dijangka berterusan sehingga Oktober dengan kebarangkalian sekitar 56% dan akan kembali neutral selepas fasa jangka pendek La Nina berlaku.
Di Malaysia, kawasan Barat Semenanjung, Sabah, dan Sarawak yang berada dalam pemantauan kerana berisiko terdedah kepada hujan lebat berterusan, ribut petir, serta angin kencang akibat fasa akhir Monsun Barat Daya. Justeru, persediaan awal dan langkah berjaga-jaga amat penting untuk mengurangkan impak cuaca ekstrem ini.

Apa Itu Fenomena La Nina?
Menurut National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), La Nina berlaku apabila angin laut bertiup lebih kuat dan mengubah pergerakan air laut — menyebabkan sesetengah kawasan dunia menerima hujan lebat hingga banjir, manakala kawasan lain pula jadi lebih kering dan panas. Fenomena ini adalah fasa iklim yang berlawanan dengan El Niño dan biasanya berlangsung sekitar 9 hingga 12 bulan.
Kesan La Nina di Malaysia
Malaysia, dengan iklim tropika dan musim hujan tahunan, antara negara yang terkesan dengan La Nina. Antara kesannya ialah:
- Hujan Lebat Berpanjangan – Terutama di Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
- Risiko Banjir dan Tanah Runtuh – Kawasan rendah serta berbukit antara paling terdedah.
- Gangguan Pertanian – Tanaman padi, kelapa sawit, dan hasil pertanian lain boleh terjejas akibat air bertakung dan tanah lembap.
- Kerugian Ekonomi & Infrastruktur – Banjir boleh menjejaskan jalan raya, pengangkutan, dan bekalan elektrik.
- Kesihatan Awam – Peningkatan penyakit bawaan air dan nyamuk akibat persekitaran lembap.
Panduan & Langkah Persediaan Menghadapi Fenomena La Nina
Walaupun kita tidak dapat menghalang fenomena cuaca global ini, langkah awal boleh membantu mengurangkan kesannya:
- Pantau Ramalan Cuaca
Ikuti perkembangan terkini melalui portal rasmi MetMalaysia dan aplikasi amaran cuaca. - Sediakan Kit Kecemasan
Simpan bekalan asas seperti air bersih, makanan kering, bateri, lampu suluh, ubat-ubatan, serta dokumen penting. - Pastikan Saliran Lancar
Bersihkan longkang dan sistem perparitan untuk mengelakkan banjir kilat. - Lindungi Kediaman & Kenderaan
Alihkan barangan elektrik ke tempat tinggi dan kenal pasti laluan selamat serta pusat pemindahan terdekat jika perlu berpindah. - Utamakan Kesihatan
Elakkan bermain di kawasan banjir, gunakan air bersih, dan cegah pembiakan nyamuk.
Menjelang fenomena ini, pastikan anda sentiasa bersiap sedia dengan ikuti ramalan cuaca, sediakan keperluan asas, dan lindungi kediaman serta keluarga bagi mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini.