Selepas lapan minggu yang penuh debaran, akhirnya Didie Shazry dinobatkan sebagai Juara Raise The Star Malaysia. Penyanyi berasal dari Sabah ini telah mencuri hati juri dan penonton dengan persembahan yang mengagumkan, membolehkan beliau membawa pulang wang berjumlah RM30,000 berserta trofi.

Juara, Naib Juara & Para Pemenang Lain
Mengiringi kejayaan Didie Shazry, Zuana dinobatkan sebagai naib juara, membawa pulang RM20,000 dan trofi. Tidak ketinggalan, Rayme meraih tempat ketiga dengan RM10,000 beserta trofi. Sementara itu, Hariz Fayahet (tempat keempat) dan Keka (tempat kelima) masing-masing memperolehi RM5,000 serta trofi. Lebih mengujakan, semua pemenang top 5 turut akan menerima sebuah single eksklusif hasil terbitan Rocketfuel Entertainment.
Sementara itu, bagi anugerah tambahan, Zury meraih gelaran Gempak Star On Fire, anugerah pilihan peminat atas talian dengan undian tertinggi. Pasya pula dinobatkan sebagai Unbeatable Star, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Penilaian dilakukan menerusi sistem 80% markah profesional dan 20% undian penonton memastikan keputusan adil dan menyeluruh.
Persembahan Akhir: “The Grand Encore”
Minggu akhir Raise The Star Malaysia 2025 berlangsung penuh meriah dengan tema “The Grand Encore”, di mana setiap peserta beraksi dengan dua lagu: lagu tugasan pilihan pihak produksi dan karya asli hasil ciptaan komposer terkenal.
Didie Shazry memukau penonton dan juri dengan karya asli berjudul “Peganglah Hati”, ciptaan penyanyi dan komposer terkenal Aina Abdul. Hariz Fayahet pula mendendangkan lagu “Lara Bertahan” (Ikhwan Fatana), Keka menyanyikan “Cinta Dusta” (Shila Amzah), Rayme mempesonakan pentas dengan “Gergasi” (Audi Mok), dan Zuana menyentuh emosi melalui “Hantaran Cinta” (Ajai)
Diterbitkan oleh penerbit Akademi Fantasia dan Astro X Tiktok Live Gimme the Mic, program Raise The Star Malaysia menampilkan 5 komposer hebat seperti Shila Amzah, Ikhwan Fatanna, Aina Abdul, Ajai dan Audi Mok yang mencari bakat suara untuk lagu hit mereka akan datang . Rancangan ini ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan boleh distrim melalui Astro GO serta Sooka.