Amalan Sempena Hari Raya Aidiladha

Haji di Mekah Al-Mukarramah
Pexels

Hari Raya Aidiladha, atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji disambut pada hari ke-10 bulan Zulhijjah setiap tahun. Ia adalah satu detik istimewa yang sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Bukan sahaja hari meraikan kemenangan keimanan dan ketaqwaan, tetapi juga peluang untuk kita menyemai nilai kasih sayang, pengorbanan dan kepedulian terhadap sesama insan. Pada tahun ini, Hari Raya Aidiladha di Malaysia bakal disambut pada 7 Jun 2025. Jadi, bersempena Aidiladha yang akan menjelma, jom kita imbas kembali sejarah di sebalik hari yang mulia ini, serta amalan-amalan yang boleh kita amalkan.

Sejarah Ringkas Hari Raya Aidiladha

korban untuk Hari Raya Aidiladha
Pexels

Hari Raya Aidiladha berasal dari kisah Nabi Ibrahim AS dan pengorbanannya yang agung demi mengikut perintah Allah SWT. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Haji kerana bersempena dengan kemuncak ibadah haji yang dilaksanakan di Mekah. Dalam ujian yang maha berat itu, Nabi Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS. Namun, Allah SWT telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat-Nya selepas kesediaan dan keikhlasan Ibrahim menunjukkan taat setia yang luar biasa.

Sementara itu, jutaan umat Islam yang menunaikan haji di Tanah Suci menunaikan rukun Islam kelima ini sebagai simbol penyucian diri dan penghambaan kepada Allah. Di saat kita menyambut Aidiladha di tanah air, mereka berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, bermunajat serta bermalam dalam kepayahan demi mencari reda Ilahi.

Amalan-Amalan Sempena Hari Raya Aidiladha dan Manfaatnya:

Bagi kita yang menyambut Aidiladha di tanah air, terdapat pelbagai amalan yang boleh dilakukan untuk menambah keberkatan dan makna pada hari istimewa ini. Berikut antara amalan yang boleh kita praktikkan:

1. Berpuasa Sunat di Awal Zulhijjah

Berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah adalah disarankan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Nabi SAW bersabda, “Puasa pada hari ini menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang”. Ini antara peluang keemasan yang rugi kalau kita lepaskan.

Niat Puasa Sunat Hari Arafah:

ู†ูŽูˆูŽูŠู’ุชู ุตูŽูˆู’ู…ูŽ ุนูŽุฑูŽููŽุฉูŽ ุณูู†ูŽู‘ุฉู‹ ู„ูู‘ู„ูู‡ ุชูŽุนูŽุงู„ูŽู‰

โ€œSaya berniat puasa sunat โ€˜Arafah kerana Allah Taala.โ€

2. Mandi Sunat Hari Raya

Antara amalan sunat yang sering dilupakan ialah mandi sunat pagi Hari Raya. Amalan ini bukan sekadar untuk menyegarkan badan, tetapi juga simbol persediaan zahir dan batin untuk menyambut hari yang suci. Mandi sunat ini seeloknya dilakukan sebelum ke masjid untuk solat sunat Aidiladha.

3. Memakai Pakaian Terbaik dan Berwangi-wangian

Walaupun Aidiladha biasanya disambut dengan lebih sederhana berbanding Aidilfitri, tidak salah untuk berpakaian kemas, bersih dan wangi. Ia menunjukkan rasa syukur dan penghormatan kita terhadap hari kebesaran Islam. Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya untuk memakai pakaian terbaik pada hari raya. Sebelum, memakai pakaian, disunatkan juga untuk membaca doa memakai baju.

4. Menunaikan Solat Sunat Aidiladha

Solat sunat Hari Raya adalah antara amalan paling utama. Ia terdiri daripada dua rakaat serta dilakukan secara berjemaah, diikuti dengan khutbah yang mengandungi peringatan dan pengajaran tentang pengorbanan, ketaatan, dan keikhlasan. Kehadiran kita ke solat sunat ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap keagungan hari raya tersebut.

5. Banyakkan Takbir dan Zikir

Takbir Aidiladha bermula selepas solat Subuh pada hari Arafah sehingga hari Tasyrik (13 Zulhijjah). Umat Islam digalakkan bertakbir sebagai tanda membesarkan Allah dan menghidupkan suasana Hari Raya. Ucapkanlah “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd”

6. Melaksanakan Ibadah Korban

Selesai solat di awal pagi, seterusnya melakukan ibadah korban yang merupakan amalan sinonim Hari Raya Aidiladha. Ia bukan sahaja menyucikan harta, tapi juga mendidik hati agar lebih prihatin dan pemurah. Daging korban pula diagih dengan adil kepada golongan fakir, jiran-jiran dan kenalan. Ingat, dilarang sama sekali untuk menjual daging sembelihan korban untuk meraih keuntungan.

7. Bersedekah dan Memberi Makan

Kalau tak mampu berkorban, jangan bersedih. Memberi makan kepada orang lain juga sangat digalakkan. Boleh sahaja masak dan hantar makanan kepada jiran atau mereka yang memerlukan. Sekecil-kecil usaha, tetap besar nilainya di sisi Allah.

8. Mengukuhkan Silaturrahim

Ini juga merupakan waktu terbaik untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Ambil kesempatan ini untuk berziarah, bermaaf-maafan dan bertanya khabar untuk menyemarakkan semangat ukhuwah dalam masyarakat. Aidiladha bukan sahaja tentang hubungan dengan Allah, tapi juga hubungan sesama manusia.

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar hari perayaan, tapi juga peluang untuk kita menghayati makna sebenar pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang. Semoga setiap dari kita dapat menjadikan Hari Raya Aidiladha sebagai titik tolak memperbaiki diri dan menyebarkan kebaikan dalam kehidupan seharian.

Kami di ZALORA Blog Malaysia ingin mengucapkan Selamat menyambut Aidiladha, salam penuh rahmat dan keberkatan buat semua!